138 Mayat Mangsa Dalam Lubang, Denda Cuma RM20K? – Lim Lip Eng
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2022 – Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan jawapan dari Menteri Dalam Negeri yang menyatakan, ‘transporter’ yang terlibat dalam kes kem penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis hanya didenda sebanyak RM20 ribu.
“138 mayat ditemui dalam kubur besar di Perlis tetapi ‘transporter’ terlibat hanya didenda RM20,000!” katanya menerusi laman Twitter.
Dalam Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat semalam, Lim Lip Eng turut mempersoalkan mengapa laporan ‘Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis’ tidak didedahkan kepada awam.
Menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, tersebut telah dihebahkan untuk rujukan umum melalui laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu www.moha.gov.my.
Sebelum dihebahkan, laporan suruhanjaya itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri buat pertama kalinya pada 29 Januari 2020 dan kali kedua pada 24 Jun 2020 selepas mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Lim Lip Eng dalam soalannya turut menuntut jawapan berapa jumlah mayat ditemukan dan berapa orang suspek didakwa di mahkamah dalam jenayah tersebut.
“Berdasarkan kepada laporan suruhanjaya tersebut, jumlah mayat dan kubur yang ditemui ialah 138 mayat dan 148 kubur yang digali. Manakala, seorang pemandu teksi dan 6 orang PATI ditangkap di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670],” maklum Hamzah Zainuddin dalam jawapan lisan yang diberikan.
“Pemandu teksi tersebut telah disabitkan dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM20,000.00 di bawah Seksyen 26J Akta 670 kerana terlibat dalam penyeludupan migran ke Malaysia.”
Tambah Menteri Dalam Negeri itu, pihak penguat kuasa juga telah mengambil tindakan terhadap penjaga kem di Bukit Wang Burma dan Genting Perah serta individu yang terlibat sebagai “transporter” yang menghantar PATI yang diseludup masuk ke Malaysia dari kem-kem ini.
“Empat orang warganegara asing telah dituduh di bawah Seksyen 26A, Akta 670 yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di Bukit Wang Burma dan Genting Perah. Kesemua mereka telah mengaku salah di Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis dan disabitkan dengan kesalahan tersebut pada tahun 2016.”
Di samping itu, pihak penguat kuasa Malaysia telah membuat permohonan kepada negara Thailand bagi mengekstradisi 10 orang penjenayah yang didapati terlibat dengan kesalahan jenayah yang dilakukan terhadap PATI di kem di Bukit Wang Burma dan Genting Perah.
“Perkara ini masih dalam proses pertimbangan ekstradisi di pihak Thailand,” kata Hamzah.