Tempatan

1,348 Kes Jenayah Seksual Kanak-kanak Dalam 6 Bulan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PASIR MAS, 06 September 2022 – Sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh Januari hingga Jun 2022 tahun ini, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof.

Katanya, kes rogol mencatat jumlah paling tinggi iaitu 641 kes bersamaan dengan 47.6 peratus manakala rogol berkumpulan 47 kes 3.5 peratus.

“Turut direkodkan ialah kes sumbang mahram 127 (9.4 peratus) selain seks luar tabii iaitu 95 kes (tujuh peratus) dan 438 (35.5 peratus) untuk kes cabul,” ujarnya sewaktu Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan yang melibatkan pornografi terhadap kanak-kanak merupakan penyumbang kepada berlakunya jenayah seksual terhadap golongan terbabit di negara ini.

Tambahnya, penggunaan gajet dan telefon pintar yang meluas telah mendedahkan golongan tersebut kepada komunikasi berunsur lucah di samping kesibukan ibu bapa dalam mengurus ekonomi keluarga sehinggakan penggunaan internet anak-anak tidak terkawal.

Berikutan itu, beliau menyatakan harapan agar komuniti setempat di setiap mukim dapat memberikan komitmen yang tinggi bagi membanteras jenayah ini.

Beliau juga berharap agar pelaksanaan kempen tersebut mampu mengubah pemikiran kanak-kanak terhadap bahayanya jenayah seksual dan pornografi.

Lapor samudera.my, sebanyak 106,764 alamat protokol internet (IP) berdaftar Malaysia dikenal pasti terlibat dalam pornografi kanak-kanak sejak enam tahun lepas.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan agar jenayah seperti pornografi kanak-kanak, siber seksual, buli siber dan pemerdagangan manusia dibanteras dengan agresif.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: