Tempatan

131 Pokok Sakit, 23 Pokok Berisiko Dikenal Pasti Di Pulau Pinang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGE TOWN, 23 Mei 2024 – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenalpasti sekurang-kurangnya 314 pokok besar yang berusia lebih 90 tahun yang mana 131 batang pokok daripadanya dikategorikan sebagai ‘tidak sihat’.

Dalam sidang media khas mengenai tahap pengurusan pokok-pokok di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata penilaian risiko pokok tahap ketiga perlu dilaksanakan sebagai langkah pengawalan yang selamat.

Menurutnya, alat khas iaitu Piscus Sonic Tomograph dan Resistograph akan diguna pakai bagi mengenal pasti tahap pereputan dalam batang pokok.

“Dalam kawasan pentadbiran MBPP sahaja, terdapat 314 pokok besar yang berumur lebih 90 tahun masih berdiri ‘megah’ dan pemeriksaan struktur dalaman batang pokok adalah amat diperlukan agar keselamatan orang awam sentiasa terjamin,” katanya.

Secara keseluruhannya, terdapat 40,000 pokok di bawah kawasan pentadbiran MBPP dan segala data inventori berkaitan termasuk jenis pokok, lokasi, saiz, status kesihatan serta penyelenggaraan pokok itu disimpan dalam Sistem Inventori Pokok Pulau Pinang (PeTIS) ketika ini.

Daripada jumlah itu pula, sebanyak 15,848 pokok yang berada di tepi jalan dan tanah lapang dengan ukur lilit 0.8 meter ke atas iaitu dalam kawasan MBPP telah diinventori.

Tambahnya lagi, pada tahun ini MBPP telah melantik kontraktor yang mempunyai kepakaran untuk menjalankan kerja-kerja penilaian risiko pokok serta penyelenggaraan di lima kawasan utama iaitu di Jalan Macalister, Jalan Utama, Jalan Burmah, Jalan Kelawai dan Jalan Perak.

“Setakat ini, sebanyak 561 daripada 1,195 pokok telah dilaksanakan kerja-kerja penilaian risiko dan ia dijangka siap menjelang bulan depan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, terdapat sebanyak 115,706 batang pokok teduhan di bawah penyelenggaraan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan 96,586 pokok telah diperiksa atau dibuat penandaan di tapak.

Untuk tahun ini katanya, sebanyak 23 pokok telah dikenal pasti sebagai pokok berisiko di Seberang Perai.

“Bagaimanapun, tindakan penebangan telah dilaksanakan ke atas lapan batang pokok. Baki 15 pokok lagi dijangka ditebang dalam masa terdekat melalui pelantikan kontraktor luar dan secara dalaman,” katanya.

Tambah Jason, selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bagi Kerajaan Tempatan, beliau telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melipatgandakan kekerapan pemeriksaan terhadap pokok di kawasan masing-masing yang berusia dan berisiko bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: