Tempatan

12 Masjid WP Jadi Pusat Kaunseling Dan Aduan Mangsa Dera

Jangan lupa sertai TelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2021 – Dua belas masjid di Wilayah Persekutuan telah dipilih sebagai pusat kaunseling dan pusat aduan mangsa penderaan rumah tangga, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Dua daripadanya iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur akan berfungsi sebagai pusat transit mangsa-mangsa penderaan, tambah Datuk Siti Zailah lagi.

“Inisiatif ini adalah di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang memberi pelbagai sokongan termasuk sokongan psikososial dan rohani.”

Berkongsi mengenai jumlah mangsa yang memerlukan tempat untuk berlindung, Datuk Siti Zailah memaklumkan, setakat ini hanya seorang mangsa penderaan rumah tangga yang memerlukan tempat perlindungan.

Menurut rekod sebelum ini, sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan dalam kalangan masyarakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan insiden keganasan rumah tangga bagi tahun 2020 ialah 5,260 kes berbanding tahun ini 4,905 kes dalam tempoh hanya lapan bulan sahaja.

Leave a Reply

Back to top button