Tempatan

119 Orang Penagih Dadah Baharu Dikesan Setiap Minggu – Ayob Khan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2022 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan bahawa seramai 119 orang penagih dadah baharu dikesan setiap minggu di seluruh negara pada tahun lalu.

“Jumlah penagih pada tahun lalu adalah seramai 129,604 orang dan 15 peratus daripadanya iaitu 6,480 merupakan penagih baharu.”

Namun, “bagi seorang penagih dadah yang dikesan, terdapat tujuh lagi penagih yang tidak dapat dikesan.” Jadi mengikut jumlah statistik yang ada, ini bermakna bilangan penagih dadah di Malaysia tahun lalu adalah hampir sejuta orang iaitu 907,222,” jelas Dato’ Ayob Khan.

Beliau berkata demikian berdasarkan kepada statistik United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang merekodkan nisbah penagih dadah adalah seorang bagi setiap lapan keluarga dan bilangan tersebut dijangka akan meningkat kepada dua penagih bagi setiap lapan keluarga dalam tempoh kira-kira 10 tahun lagi.

“Ia merupakan satu jumlah yang besar.”

Tambah Dato’ Ayob Khan, angka tersebut amat membimbangkan kerana Malaysia akan diwarisi generasi penagih sekiranya najis dadah tidak dibanteras.

Lebih mengecewakan apabila sikap segelintir keluarga yang mengambil pendekatan yang merugikan masa depan penagih dadah itu sendiri dengan ‘melindungi’ mereka berbanding menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa untuk tujuan pemulihan, kesal beliau.

Awal Januari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas dadah jenis Ketamin seberat 2 tan yang mampu dibekalkan kepada sehingga 6.7 juta orang penagih.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Dato’ Ayob Khan bin Mydin Pitchay memaklumkan operasi tersebut berjaya merampas dadah dengan nilai RM111.2 juta.

Beliau juga dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertoleransi terhadap sesiapa yang didapati terlibat dengan salah laku dadah.

“Kita tidak akan bertoleransi dengan sesiapa yang didapati terlibat dengan salah laku dadah, baik ustaz, penjawat awam atau ahli politik.”

Leave a Reply

Back to top button