Tempatan

YDPA Titah Utamakan Kelestarian Alam, Jangan Gelojoh

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LIPIS, 19 Januari 2024 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pemimpin negeri agar mengutamakan pembangunan lestari dengan merancang secara berperingkat tanpa memusnahkan alam sekitar dan sumber warisan sejarah serta budaya.

Titah Seri Paduka Baginda, sikap ‘gila’ terhadap pembangunan dengan mendirikan bangunan tinggi perlu dikurangkan sebaliknya merancang pembangunan lestari sesuai keperluan setempat.

“Di sini saya nak mengingatkan kepada Kerajaan Negeri dalam kita berusaha untuk mencari sumber-sumber hasil negeri, Kerajaan Negeri Pahang, saya harap elemen-elemen berkaitan dengan kelestarian alam dan berkaitan alam sekitar ini perlu diberi keutamaan.”

Seri Paduka Baginda menitahkan supaya pembangunan yang dijalankan di negeri ini perlu berlandaskan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Pembangunan lestari mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di samping dapat mengekalkan keharmonian penduduk berasaskan budaya dan nilai sejarah.”

“Pemusnahan alam sekitar tanpa pembangunan lestari boleh menyumbangkan kepada persekitaran yang tercemar dan timbul pelbagai penyakit dalam kalangan rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Lipis Geopark Kebangsaan di Kem Sungai Relau Merapoh, pada Khamis.

Selanjutnya titah Seri Paduka, setelah kembali bertakhta di Pahang awal Februari ini selepas menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda akan melawat setiap buah daerah dengan menumpukan pemerhatian terhadap aspek kebersihan dan keceriaan bandar.

“Saya bila balik ke Pahang nanti, saya akan melawat setiap daerah, setiap bandar supaya menentukan bandar ini berada di dalam keadaan yang bersih dan sihat. Saya tidak mahu adanya segala penyakit ada di negeri Pahang ini,” titah baginda.

“Tujuan lawatan ini untuk memastikan pembangunan di bandar dirancang secara lestari dan pada masa yang sama mewujudkan aspek kebersihan dan keceriaan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.”

“Saya menasihatkan semua pihak yang merancang pembangunan setiap daerah perlu menitikberatkan aspek kebersihan dan keceriaan penting di semua bandar dan kawasan di Pahang sejajar dengan ajaran Islam,” titah baginda.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: