1,100 Jentera Kebersihan Sedia Hadapi Banjir November Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SABAK BERNAM, 08 September 2022 – Sebanyak 1,100 aset jentera bersedia untuk digerakkan bagi menjalankan kerja kutipan sampah dan pembersihan awam terutama longkang di lokasi terjejas akibat banjir besar yang dijangka berlaku di Selangor pada November depan.
Aset-aset di bawah seliaan KDEB Waste Management (KDEBWM) itu akan digerakkan di kawasan perumahan terutamanya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.
“Kesemua lori KDEBWM akan terus digerakkan ke lokasi banjir yang bukan saja melaksanakan kerja kutipan malah membantu memeriksa saliran longkang tersumbat.”
“Ia tidak termasuk jengkaut yang turut akan digunakan menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd. Daud semasa program Penanaman 500 Pokok Bakau di Hutan Simpan Kuala Bernam, Sungai Apong pada Rabu lalu.
Menurutnya, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelaraskan pusat pengumpulan sampah banjir di seluruh negeri ini.
“Kita mahu pusat pengumpulan ketika banjir tahun lalu dikekalkan di lokasi sama. Ia berikutan faktor jarak kawasan yang lebih dekat sekalibgus memudahkan pelaksanaan operasi kutipan sampah,” ujarnya
Dalam pada itu, beliau berkata, semua saliran longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah turut diperiksa pihaknya setakat ini.
“Selain itu, kita bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi banjir di Selangor,” jelasnya.
Sebelum ini, samudera.my pernah melaporkan ramalan cuaca seluruh negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Berdasarkan ramalan METMalaysia, hampir kesemua negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak bakal berdepan dengan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang lebih kerap diramalkan bakal berlanjutan sehingga Februari 2023.