1,080 TASKA Tidak Berdaftar Dikesan Setakat Disember – Menteri
PUTRAJAYA, 11 Jun 2023 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengenal pasti sebanyak 1,080 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) tidak berdaftar di seluruh negara setakat Disember lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan aspek keselamatan kanak-kanak yang dihantar ke premis tersebut.
Menurut beliau, “Setakat ini, sebanyak 3,005 TASKA yang berdaftar di seluruh negara dan kita turut mengesan kewujudan 1,080 TASKA yang belum berdaftar.”
“Angka 1,080 itu yang hanya kita tahu, tetapi jumlahnya kemungkinan lebih besar daripada itu. Sebab itu ia memang membimbangkan,” jelasnya dalam sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023.
BACA JUGA: GEMPAR! Belgium Cipta Teknologi Proses Darah Babi Menjadi Air Minuman
BACA JUGA: B40 Perit Subsidi Ayam, Telur Dimansuhkan
BACA JUGA: Retorik Jatuhkan Kerajaan, Hadi Awang, Shahidan Kassim Disiasat
Dalam pada itu, Nancy berkata bahawa beliau memahami terdapat operator TASKA yang mahu berdaftar secara sah namun berdepan kekangan termasuk isu birokrasi yang melibatkan isu teknikal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jadi saya akan cuba membawa isu ini kepada rakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk memudahcarakan pengusaha TASKA beroperasi secara sah.”
“Kita faham dengan syarat yang ditetapkan PBT, namun adalah tidak adil untuk (menyalahkan) PBT kerana syarat yang diletakkan adalah untuk menjamin keselamatan penghuni TASKA berkenaan,” katanya.
Pihak Kementerian juga akan berbincang di peringkat negeri bersama PBT bagi mencari penyelesaian isu berkenaan, bahkan mereka merancang untuk mewujudkan pangkalan data pengusaha TASKA di seluruh negara bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pusat asuhan tertentu.
Jelas beliau, langkah ini berupaya menyalurkan maklumat dan membantu ibu bapa memilih TASKA bersesuaian sebelum menghantar anak mereka.
Namun begitu, “Itu masih dalam perancangan dan ia lebih kepada data pengasuh sebab sebelum ini kita masih belum ada data berpusat dan sebelum ini ibu bapa hanya menghantar anak mereka berdasarkan maklumat `dari mulut ke mulut’.”
“Jadi ini masih dalam perancangan dan ia memerlukan kajian, peruntukan kewangan dan ini adalah aspirasi saya,” ujarnya lagi.