Tempatan

1,000 Muflis Sebulan, Kenaikan OPR Antara Penyebab

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AMPANG, 24 November 2022 – Berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Malaysia dianggarkan muflis setiap bulan, ujar Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif.

Lapor berita tempatan, katanya, kenaikan OPR memburukkan lagi keadaan rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kebanyakan rakyat yang terkena tempias adalah yang bergaji sederhana dalam kelompok RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan yang mempunyai keluarga yang besar.”

Tambahnya, “Hampir semua golongan umur termasuk dalam kategori yang boleh diisytiharkan muflis terutamanya usia antara 20 tahun hingga 50 tahun yang memiliki rumah.”

Beliau berpendapat bahawa kadar muflis boleh dikurangkan di Malaysia sekiranya pegawai bank mengambil inisiatif terhadap kenaikan OPR.

“Mengapa pegawai bank enggan melakukan perundingan dan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak yang terlibat serta sama-sama mencari solusi. Semasa melakukan pemasaran bagi pinjaman, banyak promosi yang ditawarkan tetapi bila tidak dibayar, bank tidak ambil peduli untuk berunding,” soalnya.

Jelasnya, perkara tersebut adalah kelemahan pegawai bank sendiri yang tidak pernah turun padang bertanyakan kepada peminjam mengenai masalah yang dihadapi.

Rosland berkata, beliau menerima 10 hingga 15 panggilan telefon setiap hari daripada individu bagi mengadu nasib dan meminta nasihatnya. Ada juga yang hampir bunuh diri kerana tidak dapat menanggung tekanan daripada beban hutang.

Sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM memutuskan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, iaitu kenaikan kali keempat pada tahun ini.

Disebabkan kenaikan tersebut, kadar tertinggi dan terendah koridor OPR juga dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: