10 Rakyat Malaysia Bakal Ke Tali Gantung Di Singapura
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 04 September 2022 – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam mendedahkan bahawa terdapat 10 lagi rakyat Malaysia yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di negara itu atas kesalahan dadah.
Kesemua rakyat Malaysia itu dilaporkan sedang menunggu nasib sama ada mereka akan diberikan pengampunan atau tidak.
Ujar K. Shanmugam yang juga merupakan Menteri Undang-Undang, adalah difahami akan ada orang yang bersuara menentang hukuman mati mandatori itu, tetapi, beliau menegaskan bahawa beribu-ribu nyawa dan keluarga musnah disebabkan pengedar dadah.
Terdahulu, Nagaenthran Dharmalingam, lelaki warga Malaysia yang didapati bersalah mengedar dadah di Singapura telah dihukum gantung pada 27 April 2022 selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhirnya.
Beberapa bulan selepas itu, pada 7 Julai 2022, seorang lagi warganegara Malaysia, Kalwant Singh juga dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan sama.
“Jadi anda lihat orang-orang ini membuat wang daripada kesengsaraan orang lain. Tetapi saya dapat fahami belas kasihan terhadap Nagaenthran dan Kalwant, tetapi kita juga perlu belas kasihan kepada mangsa mereka,” tegas K. Shanmugam.