Terkini

10 Mati Selepas Suntikan Vaksin Covid 19 Di Jerman

BERLIN – “Sudah ada sembilan kes (kematian) sehingga semalam. Kami perlu menunggu data daripada Lower Saxony berkaitan satu lagi kes, maka, cukuplah sepuluh kes kematian.”

“Kami bercakap mengenai pesakit-pesakit yang sedang dalam keadaan kronik dan tenat serta menghidap berbagai jenis penyakit. Mereka juga sedang menerima rawatan paliatif.”

Ini merupakan jawapan daripada Brigitte Keller-Stanislawski, ketua jabatan di Institut Paul Ehrlich (PEI), Jerman, selepas negara itu digemparkan dengan kematian sepuluh orang pesakit tidak lama selepas menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19.

“Dalam kes ini, pesakit kronik maut dalam tempoh empat hari selepas divaksin,” kata PEI.

Jerman sebelum ini dilaporkan mula memberikan suntikan vaksin dos pertama kepada 800,000 rakyatnya di mana warga emas yang berada di pusat jagaan menjadi golongan pertama menerimanya.

Dakwa Stanislawski yang bertanggungjawab mengawal selia keselamatan ubat-ubatan dan alat perubatan itu, kematian selepas divaksin hanyalah satu kebetulan kerana PEI mengandaikan kematian pesakit berpunca daripada penyakit utama mereka.

“Saya sudah mengatakan bahawa kami sedang mengkaji kes ini.”

“Berdasarkan data yang sudah diperoleh, kami mengandaikan mereka maut kerana penyakit utama mereka. Kebetulan pula (maut) selepas mereka divaksin.”

Presiden PEI, Klaus Cichutek berkata, kesan sampingan pemvaksinan yang dilaporkan setakat ini adalah sakit kepala, sakit di kawasan yang disuntik, penat dan sakit badan.

“Kesan sampingan sementara ini lebih kuat daripada kesan sampingan pemvaksinan flu.”

Setakat hari Ahad, PEI telah menerima sebanyak 325 kes dengan 913 kesan sampingan termasuklah 51 kes dengan kesan sampingan yang serius.

Dunia sebelum ini dikejutkan dengan 23 kematian penerima vaksin di Norway yang membuatkan pakar-pakar kesihatan China menggesa semua negara untuk menggantung penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button